Sunday, 10 February 2013

Kejayaan Malaysia dalam bidang sukan




Datuk Lee Chong Wei


Datuk Lee Chong Wei sememangnya merupakan suatu ikon kejayaan Malaysia, terutamanya pada masa kini. Bakat beliau yang begitu mengasyikkan telah menjadi perintis kepada bidang kesukanan Malaysia, khususnya dalam sukan badminton. Kini, beliau digelar “Pemain Badminton No. 1 di Dunia” dan ini sesungguhnya telah menaikkan imej negara di persada dunia.

Anak jati Malaysia ini telah dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang dan pada hari ini menetap di Bukit Mertajam. Walaupun beliau pada zaman mudanya amat menggemari permainan bola keranjang, beliau mula membenam minatnya dalam badminton sewaktu berusia 11 tahun. Pada masa itulah, beliau dibawa ke gelanggang badminton oleh ayahnya yang merupakan peminat permainan ini. Bakatnya terserlah walaupun masih muda dan hal ini telah menarik perhatian seorang jurulatih tempatan yang sanggup melatihnya. Beberapa tahun kemudian, Lee Chong Wei yang berusia 17 tahun didaftarkan ke dalam pasukan badminton Malaysia oleh Misbun Sidek.

Sejak hari itu, kerjaya beliau telah berkembang dan kejayaan pertama beliau adalah dalam pertandingan Malaysia Open pada tahun 2003, walaupun beliau dikalahkan oleh Chen Hong dari China. Tidak lama kemudian, pada tahun 2004 beliau mendapat peluang bermain dalam Sukan Olimpik untuk mengharumkan nama negara. Walaupun dikalahkan oleh Chen Hong sekali lagi, kegigihannya akhirnya berbalas jua apabila beliau berjaya merangkul dua pingat emas dalam Sukan Komanwel pada tahun 2006. Pada tahun 2010, beliau berjaya mendapat anugerah individu dalam pertandingan All England Super Series. Nama dan reputasinya dalam bidang kesukanan Malaysia terus meningkat dan kejayaan beliau dalam sukan ini telah menjadi kebanggaan Malaysia.

Pendek kata, Malaysia dikurniakan dengan seorang yang berbakat dalam bidang kesukanan badminton dan Datuk Lee Chong Wei akan terus menjadi simbol kegigihan dan usaha berdaya maju bagi generasi baru Malaysia untuk mengejar impian dan cita-cita. Sememangnya kita semua harus menjadikan beliau sebagai teladan dalam berusaha mencapai kejayaan untuk tanah air yang tercinta.


Datuk Nicol Ann David


Datuk Nicol Ann David merupakan pemain skuasy professional Malaysia. Beliau telah mengukir nama untuk Malaysia di arena skuasy dunia, sekurang-kurangnya dalam kategori wanita. Kini, beliau dikenali sebagai pemain skuasy wanita No. 1 di Malaysia dan merupakan orang Asia pertama untuk mendapat gelaran tersebut. Beliau turut merupakan kebangaan Malaysia dalam bidang kesukanan.

Nicol merupakan cahaya mata jurutera tempatan berbangsa India, Desmond David dan seorang guru berbangsa Cina yang telah bersara, Ann Marie David. Beliau mempunyai dua orang adik-beradik, Lianne dan Cheryl yang juga merupakan pemain skuasy peringkat negara. Sebagai seorang kanak-kanak, Nicol seorang pelajar yang cerdik dan Matematik merupakan matapelajaran terbaiknya. Malah, dalam peperiksaan PMRnya, Nicol berjaya mencapai keputusan 7A dan ini membawanya satu langkah ke hadapan untuk mengecapi cita-cita menjadi jurutera seperti ayahnya.

Sejak beliau mula berkecimpung dalam sukan skuasy, beliau telah banyak mencapai kejayaan dan antaranya ialah kemenangannya dalam pertandingan World Junior Squash Championship dalam kategori wanita pada tahun 1999. Pertandingan tersebut berlangsung di Antwerp, Belgium dan beliau telah menjadi wanita termuda, pada usia 15 tahun, untuk memenangi pertandingan tersebut. Malah, beliau telah mengalahkan tiga pemain yang tersenarai dalam 20 pemain skuasy terhandal dunia dalam pertandingan tersebut. Hal ini telah membanggakan tanah air dan kejayaannya tidak berhenti di situ apabila Nicol, pada usia 21 tahun, menjadi pemain skuasy termuda untuk memenangi pertandingan World Open di Jerman. Tidak lama kemudian, beliau menjadi pemain skuasy tempatan pertama untuk memenangi pertandingan Women’s CIMB Malaysian Open Squash Championship yang tidak pernah berlaku sejak 31 tahun pertandingan ini diadakan. Kejayaan terbarunya diukir semasa Datuk Nicol Ann David, pada tahun 2010, memenangi Kuala Lumpur Open untuk kali ke-enam sejak tahun 2000.

Sesungguhnya Datuk Nicol Ann David merupakan symbol kecemerlangan Malaysia dalam sukan skuasy dan kita sebagai generasi muda Malaysia harus mengambil iktibar dan meneladani tokoh Malaysia ini. Beliau telah banyak memberi sumbangan kepada negara ini dan menaikkan nama Malaysia dalam bidang kesukanan sedunia

No comments:

Post a Comment